Kepada : Sahabat-sahabat yang disayangi dan dirahmati sekalian
Daripada : Sahabatmu
Assalamualaikum sahabatku….
Apa khabar, sahabatku? Apa khabar imanmu, sahabatku? Kuharap kalian sihat walafiat sentiasa, diberi kesihatan yang baik, kesihatan Iman yang sihat berlipat kali ganda sentiasa. Ameen.. Tiba-tiba rasa rindu sangat pada kalian semua. Rindu sudah lama tak bertaut, bergurau, belajar sama-sama. Kuharap kalian pun begitu merindui saat kita bersama dulu-dulu.
Wahai sahabatku yang dikasihi sekalian,
Tahun 2011 ini, kita baru jejaki usia 20-an. Kita sudah makin tua nampaknya, lebih dewasa dan lebih matang juga. Sudah 3 tahun kita meninggalkan zaman persekolahan. Rasa macam masih baru lagi kita meninggalkan sekolah. Mungkin tercoret segala kesukaan, kegembiraan, kesedihan, dan juga kehibaan semasa kita bersekolah dahulu. Segala yang tercoret itulah album kenangan kita yang juga menjadi pengajaran dan pedoman kita masa kini. Dulu kita terikat dengan peraturan sekolah, arahan warden asrama, ketua pelajar (KP), pengawas Badar yang perlu kita ikuti walaupun dalam keadaan terpaksa. Kadang-kala ia terasa seperti membebankan dan mengongkong kebebasan sebagai pelajar yang berjiwa remaja. Dan sekarang, pilihan ada di tangan kita. Kadang-kadang yang baik dan buruk kita adunkan menjadi satu. Tiada peraturan atau syarat-syarat yang terikat seperti dulu kala. Inilah yang kita mahukan sejak dulu lagi.
Wahai sahabatku yang dirindui sekalian,
Dulu semasa di sekolah, kita menutup aurat kita dengan sehabis baik. Walaupun kadang-kadang kita malas nak pakai stoking, tapi bila disuruh juga kita tetap pakai. Kita juga tahu firman Allah dalam Surah An-Nur : 31 yang meminta kita supaya melabuhkan pakaian kitaDan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.(24: 31)
Mungkin dulu kerana peraturan kita berpakaian seperti itu. Tetapi ianya sebenarnya Peraturan Allah. Kita makin lupa semua itu kerana suasana persekitaran sekarang yang sebegitu. Tidak salah jika kita masih seperti dahulu. Mungkin payah, tetapi ia suatu perkara yang hebat jika ia berlaku. Sahabatku, kita mampu mengubahnya, bukan. Walaupun kita tidak mampu menutup aurat sesempurna mana seperti dahulu, tapi kita tahu apa yang terbaik untuk kita menjaganya.
Wahai sahabatku yang disayangi sekalian,
Benarlah teori Erik Erikson dalam psikologi yang menyatakan usia 18-35 tahun, merupakan masa kemuncaknya perasaan keintiman. KEINTIMAN VS KEKOSONGAN. Benar bukan.. Usia inilah kita mudah jatuh cinta, kita mungkin sudah memikirkan hal-hal berkaitan dengan perkahwinan dan macam-macam lagi. Dengar cita, ada yang sudah bertunang. Tahniah diucapkan. Tidak salah kita mencari seseorang, tetapi ingatlah SYARIAT ALLAH yang perlu kita jaga. Cinta ALLAH yang perlu kita utamakan dalam setiap perkara. Memang indah bila semasa bercinta. Dunia yang dulu terasa malap, kini menjadi terang benderang. Mungkin dulu kita adalah orang skuad ‘amru, yang sentiasa mencari golongan couple di sekolah, akhirnya kita juga turut terjebak sekali. Bukan satu perkara yang salah, cuma saluran dan cara kita bercinta mungkin salah. Dikatakan cinta Islamik, tetapi dalam perkara yang sama kita turut melakukan kesalahan atau kemungkaran tanpa disedari. Semoga sahabat-sahabat yang mungkin telah terjebak tanpa disedari, anda boleh ubah segala-galanya. Betulkan? Kita ingat kembali pada firman Allah dalam surah Al-Isra’ : 32
Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).(17: 32)
Mungkin kita bukan melakukan zina itu, tetapi kita cuba untuk mendekatinya. Ingat, kita ingin melahirkan zuriat yang hebat dan bakal meneruskan perjuangan di muka bumi Islam ini seharusnya permulaan dengan yang baik. BAITUL MUSLIM. Sahabatku, kita mampu mengubahnya. Kudoakan sahabat-sahabatku dikurniakan suami soleh dan isteri yang solehah dan zuriat-zuriat yang baik. InsyaALLAH.
Wahai sahabatku yang hebat sekalian,
Dulu, kita menjaga ikhtilat antara muslimin dan muslimat sebaik yang mungkin. Yang muslimin tak pandang langsung muslimat, dan muslimat jalan tertunduk malu. Bercakap di sebalik tirai dan macam-macam lagi. Sekarang, ikhtilat yang yang dulu dijagai, kian dilanggari. Mungkin kita lihat satu perkara biasa tetapi impaknya mungkin satu yang luar biasa. Ikhtilat yang tidak dijagai itu mungkin akan membawa satu kesan yang mendalam kelak. Ingatlah, sahabatku, jagailah ikhtilat seperti mana yang dijaga seperti dahulu dan ikutlah seperti yang disyariatkan Allah.
Wahai sahabatku yang berjaya sekalian,
Mungkin hadirnya warkah ini mungkin menyinggung perasaanmu, tetapi itu bukan kehendakku. Kuingin sahabatku seperti dahulu. Warkah ini juga ingatan buat diriku terutamanya. Tegurlah diriku ini jika diriku tidak seperti dahulu. Semoga kita menjadi insan acuan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Cinta Allah yang diutamakan, membawa hidup lebih terarah. InsyaALLAH, sahabatku. Sahabatku, kita mampu mengubahnya bukan. Aku mencintai sahabat-sahabatku kerana-Mu, ya Allah. Semoga ukhuwah yang terbina berlandaskan syariatnya membawa ke syurga. InsyaALLAH… ameen, ya Rabb..
| Di sinilah ku temui tarbiyyah~ |
2 perkongsian:
jdilah mukmin yg sntiasa beroleh kjayaan, smakin hri smakin mnuju kpd prubahan..iman sdh PASTI akn naik dan trun, nmun kjayaan prlu sntiasa digapai,gudpost! keep writing 4 ISLAM..(^_^)
to ustaz Hazwan~
syukran..
sememangnya IMAN sentiasa diuji saban hari yang mendatang...dan sememangnya juga org2 beriman itulah golongan yang berjaya...bersama menuju MARDHATILLAH~
Post a Comment